SHAH ALAM, 23 JUN: Guru tuisyen yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya masih menunggu keputusan bagi tujuh lagi pertuduhan sama membabitkan anak sulungnya.
Mahkamah Sesyen Tawau menangguhkan prosiding sebutan semula kes yang dijadualkan hari ini kepada 21 Julai depan berikutan laporan perubatan mangsa masih belum diperoleh.
Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya dengan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suhayl Aminin Sallehuddin.
Tertuduh yang berusia 53 tahun itu tidak diwakili peguam dalam prosiding berkenaan, lapor Berita Harian.
Pada 6 Mei lalu, lelaki yang juga guru di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu itu mengaku bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak perempuan sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah Tawau antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 8 April lalu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya.
Mangsa masing-masing berusia 25 dan 22 tahun ketika kes berkenaan dibicarakan.
Hakim Suhailla Selag ketika itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan secara berasingan, selain mengenakan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.







