Hormati institusi diraja, kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina – EXCO Selangor

26 Apr 2026, 10:50 AM
Hormati institusi diraja, kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina – EXCO Selangor

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kebebasan bersuara yang diamalkan dalam negara ini bukan lesen untuk menghina mana-mana pihak, apatah lagi institusi diraja, tegas EXCO Kebudayaan.

Datuk Borhan Aman Shah mengingatkan rakyat agar memelihara adab, menghormati institusi negara serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian masyarakat.

“Saya kesal dan marah terhadap penyebaran imej dan hantaran tular yang menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Perkara ini bukan sahaja berkait dengan sensitiviti, tetapi merupakan satu bentuk penghinaan serius terhadap institusi Raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.

“Mana-mana pihak yang terlibat tidak boleh dilindungi walau apa pun latar belakang atau alasan yang diberikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Borhan menggesa polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara.

“Perbuatan ini satu tindakan melampau, biadab dan tidak boleh diterima sama sekali dalam negara yang berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Rakyat sedang memerhati dan mengharapkan keadilan dilaksanakan tanpa pilih kasih,” katanya.

Terdahulu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han turut mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis supaya mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

Gambar khinzir yang memakai pakaian adat istana itu tular di media sosial sejak semalam bersama ayat yang menghina Sultan Selangor.

Sementara itu, portal berita Mandarin, Oriental Daily menafikan terbabit dengan hantaran terbabit memandangkan pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan logo syarikat berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.