Insiden penunggang motosikal cedera: Telekom Malaysia laksana pembaikan kekal

26 Apr 2026, 7:22 AM
Insiden penunggang motosikal cedera: Telekom Malaysia laksana pembaikan kekal

SHAH ALAM, 26 APRIL: Lurang penyelenggaraan di Jalan Klang-Sabak Bernam yang menyebabkan kemalangan seorang penunggang motosikal telah diambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak memaklumkan kerja tampalan premix telah dilaksanakan oleh Telekom Malaysia bagi memastikan aras permukaan lurang selari dengan jalan sedia ada.

Menurut beliau, semakan awal mendapati lurang atau ‘manhole’ milik utiliti Telekom Malaysia berada pada aras lebih tinggi berbanding permukaan jalan, sekali gus berpotensi membahayakan pengguna.

“JKR Kuala Selangor sebelum ini telah mengemukakan teguran supaya pelarasan dilaksana dengan aras jalan tetapi tindakan pembaikan masih belum dilaksanakan.

“Namun, untuk tindakan segera, pihak konsesi telah mengambil tindakan sementara laksana kerja pelarasan sementara pada permukaan jalan bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

“Saya difahamkan, Telekom Malaysia kini telah melaksana kerja pembaikan kekal dengan menjalankan tampalan premix di lokasi lurang penyelenggaraan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Telekom Malaysia perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua struktur utiliti di sepanjang jajaran bagi memastikan tiada lagi struktur yang berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.

“Telekom Malaysia juga perlu memantau semua kerja pembaikan yang dilaksanakan supaya mengikut spesifikasi dan piawaian teknikal yang ditetapkan JKR,” ujarnya.

Semalam, tular video seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat kemalangan di Jalan Klang – Sabak Bernam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.