MBPJ-KGNS meterai MoU projek tebatan banjir Kelana Jaya

26 Apr 2026, 8:15 AM
MBPJ-KGNS meterai MoU projek tebatan banjir Kelana Jaya

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus memperkukuh usaha tebatan banjir menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kelab Golf Negara Subang (KGNS) bagi menaik taraf sistem perparitan di Jalan SS 7/2, SS 7, Kelana Jaya.

Perjanjian strategik itu ditandatangani Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon bersama Timbalan Presiden KGNS, Abdul Majid Md Yusof dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan berisiko banjir.

Menurut Mohamad Zahri, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan MBPJ dalam memperkukuh infrastruktur sedia ada khususnya di lokasi yang sering terjejas akibat banjir.

“Projek ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko banjir, malah memberi penekanan kepada aspek keselamatan awam dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik itu turut membolehkan penggunaan tanah pajakan milik KGNS tanpa sebarang pampasan atau sewaan.

“Ia mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda pembangunan bandar yang lebih mampan,” katanya.

Projek berkenaan yang melibatkan penggunaan tanah seluas kira-kira 3,150 meter persegi dengan jajaran sepanjang 630 meter bagi pembinaan sistem perparitan baharu mengikut spesifikasi teknikal ditetapkan.

MBPJ memaklumkan, skop kerja merangkumi pembinaan sistem perparitan, pemasangan pagar anti-panjat serta jaring keselamatan, selain pembinaan semula laluan pacu lasak di kawasan terlibat.

“Pelaksanaan projek akan dikendalikan kontraktor yang dilantik dengan perlindungan insurans pihak ketiga bagi menjamin keselamatan pekerja, harta milik serta orang awam sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya.

Dalam masa sama, selepas siap sepenuhnya, kemudahan seperti pagar, jaring keselamatan dan laluan pacu lasak akan diserahkan kepada pihak KGNS untuk penyelenggaraan berkala.

Kerjasama tersebut dijangka berlangsung sehingga 13 Mac 2055 dan mencerminkan komitmen berterusan antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan bandar lebih selamat, mampan serta berdaya tahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.