SHAH ALAM, 24 APRIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan Operasi Sekat Usahawan di pasar tani bagi memastikan pematuhan permit dan bayaran sewaan.
Operasi yang berlangsung dari 21 hingga 26 April ini melibatkan 16 pasar tani serta sebuah pasar tani kekal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut FAMA, operasi tersebut digerakkan menerusi kerjasama Unit Institusi Pasaran, Unit Regulasi Pasaran serta Unit Kawalan Kredit dan Unit Kewangan FAMA negeri.
"Tindakan ini bertujuan menyekat kemasukan usahawan yang masih belum memperbaharui permit perniagaan selain mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal melunaskan bayaran sewaan tapak.
“Operasi ini juga menyasarkan tindakan terhadap usahawan yang gagal menjelaskan bayaran sewaan tapak bagi tempoh Januari hingga Mac 2026,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, FAMA menegaskan pematuhan terhadap peraturan serta disiplin dalam urusan perniagaan merupakan tanggungjawab bersama.
“Tindakan ini diharap dapat menjadi peringatan kepada semua usahawan agar sentiasa peka dan komited dalam memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
“Semoga usaha ini dapat memastikan ekosistem pasar tani terus teratur, adil dan berdaya saing demi manfaat semua,” katanya.








