Latihan TVET percuma, Selangor sasar pekerjaan berkualiti

24 Apr 2026, 5:52 AM
Latihan TVET percuma, Selangor sasar pekerjaan berkualiti

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri menawarkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara percuma melalui Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata program itu memberi peluang kepada belia lepasan sekolah mengikuti latihan dalam bidang teknikal, logistik dan pembuatan sebelum dipadankan terus dengan keperluan industri.

“Selain itu, penganjuran program karnival kerjaya seperti Karnival Jelajah JobCare Daerah Kuala Langat Tahun 2026 pada 11 April yang lalu turut menjadi platform mempertemukan pencari kerja tempatan dengan majikan secara terus.

“Dalam masa yang sama, Platform Selangor (PLATS) turut menyediakan latihan keusahawanan kepada usahawan baharu bagi membantu mereka menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi melalui aktiviti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Rosnizan Ahmad pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Papparaidu memaklumkan Kerajaan Negeri merancang menarik pelaburan serta merancakkan pembangunan industri ringan di kawasan Morib bagi meningkatkan kesejahteraan dan memperluas peluang ekonomi penduduk setempat.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui penggalakan ekonomi desa dan sektor pelancongan, antaranya dengan menaik taraf produk pelancongan, memperkasa program inap desa, serta mengukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif PLATS.

“Selain itu, kedudukan Morib yang berhampiran dengan zon industri Kuala Langat seperti Bukit Changgang, Telok Panglima Garang dan Olak Lempit menjadikannya lokasi yang strategik untuk dibangunkan sebagai hab industri ringan dan logistik.

“Keadaan ini berpotensi memberikan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.