SHAH ALAM, 24 APRIL: Selangor memperkukuh kesiapsiagaan belia dalam mendepani revolusi kecerdasan buatan (AI) menerusi peluasan kursus kemahiran teknikal yang lebih praktikal, berfokus industri dan mudah diakses.
EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi berkata, inisiatif melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) itu merangkumi bidang seperti analisis data, pembelajaran mesin dan automasi pintar yang selari dengan keperluan semasa industri.
“Pendekatan ini penting supaya belia bukan sekadar memahami konsep asas, tetapi mampu membangunkan penyelesaian sebenar yang boleh digunakan dalam sektor industri.
“Dalam masa sama, program berbentuk latihan intensif seperti bootcamp AI, hackathon dan program pensijilan mikro (micro-credentials) perlu diperbanyakkan bagi memberi laluan pembelajaran yang lebih fleksibel serta cepat.
“Inisiatif sebegini membolehkan belia dari pelbagai latar belakang, termasuk bukan teknikal, untuk memasuki bidang AI tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada laluan akademik tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Najwan memaklumkan STDC turut menjalin kerjasama dengan pemain industri dan institusi pengajian tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dalam bidang AI.
Menurutnya, kerjasama tersebut membuka lebih banyak peluang latihan industri, projek kolaboratif serta program penyelesaian masalah dunia sebenar (real-world problem solving).
“Di peringkat komuniti pula, organisasi seperti Penggerak Belia Selangor (PeBS) boleh memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pendedahan awal kepada AI melalui bengkel asas, program kesedaran teknologi dan sesi perkongsian bersama penggiat industri.
“Ini penting untuk membina minat dan keyakinan dalam kalangan belia, khususnya di kawasan luar bandar atau berpendapatan rendah,” ujarnya.









