RAWANG, 24 APRIL: Sektor aeroangkasa Selangor dijangka terus berkembang dari segi pelaburan dan sumbangan hasil, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti.
Ng Sze Han berkata perkembangan sektor itu turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau, meskipun tekanan luaran seperti peningkatan kos tenaga dan ketegangan geopolitik di Asia Barat memberi cabaran serta peluang kepada industri.
“Cabaran terbesar susulan konflik di Asia Barat adalah kos tenaga.
“Namun saya percaya sektor aeroangkasa akan kekal berada pada trajektori pertumbuhan. Ia mungkin sedikit perlahan, tetapi akan terus berkembang.
“Setiap krisis juga membuka peluang. Ini mungkin menjadi ruang untuk Malaysia dan Selangor memposisikan diri sebagai hab aeroangkasa serantau.
“Sebelum ini Asia Barat merupakan hab transit utama penerbangan ke Eropah, namun ketidaktentuan geopolitik di sana mungkin membuka peluang kepada Malaysia menjadi hab alternatif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sulung komponen ‘rear fan case’ buatan 100 peratus Malaysia oleh UMW Aerospace Sdn Bhd di ibu pejabatnya, di sini, semalam.

Industri aeroangkasa Selangor menerima lonjakan besar apabila UMW Aerospace berjaya menyerahkan komponen ‘rear fan case’ pertama yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia kepada Rolls-Royce.
Pencapaian itu diraikan dalam majlis yang disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Sze Han serta wakil Rolls-Royce Holdings plc, selain pemain industri dan pegawai kanan kerajaan.
Sementara itu, mengulas kerjasama jangka panjang antara UMW Aerospace dan kerajaan negeri, Sze Han berkata Invest Selangor Bhd serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memainkan peranan penting dalam pembangunan operasi syarikat itu di Serendah sejak sedekad lalu.
“Usaha membawa UMW Aerospace ke Serendah bermula 10 tahun lalu. Ketika itu, Invest Selangor bersama MIDA bekerja keras bagi memastikan pelaburan ini berjaya.
“Selepas 10 tahun, kita kini melihat hasil jangka panjang daripada inovasi tempatan serta sokongan fasilitasi kukuh oleh Invest Selangor,” katanya.

Beliau menambah kejayaan projek berkenaan mencerminkan perkongsian strategik antara kerajaan negeri dan pemain industri aeroangkasa yang aktif menyertai inisiatif negeri.
“UMW Aerospace merupakan rakan strategik kerajaan Selangor. Mereka kerap menyertai program kita termasuk Selangor Aviation Show, malah turut menjadi penaja.
“Hubungan ini sangat rapat dan membolehkan kita memahami keperluan mereka dengan lebih baik serta memudah cara pelaburan secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama rapat sedemikian penting bagi memastikan projek berteknologi tinggi dapat bertapak dan berkembang di Selangor.
“Perkongsian strategik seperti ini amat penting bagi memastikan projek seperti ini berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Sze Han turut menekankan aspek pembangunan bakat menerusi kerjasama berterusan antara industri dan institusi pendidikan teknikal termasuk penglibatan vendor UMW Aerospace dengan institusi TVET tempatan.
“Bagi pembangunan kemahiran, Invest Selangor berjaya menghubungkan vendor UMW Aerospace, GSE di Jenjarom, dengan Politeknik Banting.
“Politeknik Banting merupakan institusi peneraju yang menyediakan latihan TVET aeroangkasa. Ini langkah penting dalam pembangunan bakat.”
Menurutnya, kerjasama seumpama itu turut diperluas ke luar Selangor.
“Ini hanya satu contoh. UMW juga bekerjasama dengan politeknik dan universiti di negeri lain.
“Kita memerlukan kumpulan tenaga kerja mahir yang lebih besar untuk sektor ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Selangor untuk menarik lebih banyak pelaburan aeroangkasa berdasarkan prestasi kukuh sektor berkenaan.
“Ia sektor yang sangat penting. Berdasarkan statistik 2025, industri aeroangkasa menjana hasil RM32.5 bilion, eksport RM7.95 bilion serta mewujudkan kira-kira 34,500 pekerjaan setakat ini, dengan pertumbuhan berterusan setiap tahun.
“Sektor ini menyokong pengembangan ekonomi negeri,” katanya.








