SHAH ALAM, 23 APRIL: Polis menahan seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan penemuan mayat lelaki di Klang, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki warga asing pada 3.15 petang tadi di kediaman sama.
Beliau berkata wanita berusia 32 tahun itu, ditahan selepas penemuan mayat tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan suspek. Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggugat keamanan masyarakat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.








