Isu penempatan Gurdwara Sungai Tua capai persetujuan, jaga kepentingan semua pihak

23 Apr 2026, 1:59 PM
Isu penempatan Gurdwara Sungai Tua capai persetujuan, jaga kepentingan semua pihak

SHAH ALAM, 23 APRIL: Isu penempatan semula Rumah Ibadat Gurdwara Sungai Tua yang berlarutan hampir lapan tahun menunjukkan perkembangan positif apabila persetujuan bersama akhirnya dicapai.

Persetujuan itu dimeterai antara Persatuan Gurdwara dan Kerajaan Negeri Selangor selepas melalui rundingan yang terperinci.

Perkara tersebut dimuktamadkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penempatan Semula yang memberi fokus kepada usaha memperhalusi penyelesaian terbaik.

Setiausaha politik kepada Dato' Menteri Besar, A Rahim Ahmad Kasdi berkata keputusan itu dicapai dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat.

“Selepas hampir lapan tahun, persetujuan penempatan semula Gurdwara Sungai Tua akhirnya dicapai melalui rundingan terperinci yang mengutamakan kepentingan semua pihak,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurutnya, hasil perbincangan itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju terhadap satu cadangan penyelesaian.

Cadangan tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penelitian dan pertimbangan lanjut sebelum keputusan muktamad dibuat.

Sebelum ini, isu berkenaan timbul susulan keperluan pemindahan tapak rumah ibadat tersebut yang berdepan kekangan berkaitan status tanah serta pembangunan di kawasan sekitar.

Pelbagai rundingan telah diadakan sepanjang tempoh lapan tahun bagi mencari jalan penyelesaian sesuai.

Tambah beliau, pendekatan rundingan yang dilaksanakan selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan penyelesaian dibuat secara inklusif, adil dan harmoni.

“Kerajaan Negeri komited memastikan isu melibatkan rumah ibadat ditangani secara inklusif, adil dan harmoni demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz, wakil Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta pegawai dari Pejabat Dato Menteri Besar Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.