SHAH ALAM, 17 JULAI: Beberapa isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua sedang dibincangkan secara menyeluruh bagi mencari penyelesaian yang mematuhi peruntukan undang-undang.
Wakil rakyatnya Datuk Johan Abd Aziz berkata, perbincangan melibatkan semua pihak berkaitan penting bagi memastikan keputusan yang dicapai mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Saya menerima kunjungan wakil pengurusan beberapa rumah ibadat bukan Islam di sekitar DUN Dusun Tua berhubung notis yang telah dikeluarkan oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah.
“Susulan itu, saya menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah bagi mengadakan perbincangan lanjut untuk mendapatkan penjelasan serta meneliti ruang penyelesaian yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang, dasar kerajaan dan garis panduan yang berkuatkuasa.
“Antara perkara yang akan diperhalusi ialah status pemilikan tanah, pematuhan kepada garis panduan perancangan, kesesuaian lokasi rumah ibadat mengikut keperluan komuniti setempat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut memaklumkan perbincangan turut berkaitan pendekatan bagi memastikan penyediaannya lebih tersusun, terancang dan selaras dengan perancangan pembangunan kawasan.
“Pada masa sama, mekanisme penyelesaian yang dibenarkan oleh pihak berkuasa turut dibincangkan.
“Saya berharap proses perbincangan ini dapat menghasilkan penyelesaian terbaik, selaras dengan undang-undang serta mengambil kira kepentingan dan keharmonian masyarakat,” katanya.







