SHAH ALAM, 24 APRIL: Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor memperkukuh kesiapsiagaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.
Menerusi Jabatan Kewangan, MBI Selangor mengadakan sesi perbincangan strategik bersama ketua pegawai kewangan syarikat milikannya bagi menilai keadaan semasa dan merangka langkah lebih mampan.
Sesi itu dimulakan dengan amanat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop yang menekankan keperluan organisasi bersedia menghadapi sebarang risiko ekonomi.
Turut dibentangkan unjuran Economic Outlook 2026 oleh RHB Banking Group serta analisis impak semasa terhadap operasi oleh perunding Deloitte.
“MBI Selangor akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan mengoptimumkan kecekapan kos serta operasi di peringkat kumpulan dan anak syarikat,” menurut kenyataan.
Langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan memperkukuh daya tahan organisasi dalam mendepani ketidaktentuan pasaran global.











