SHAH ALAM, 23 APRIL: EXCO Kerajaan Negeri Anfaal Saari menegaskan orang ramai perlu menilai sesuatu isu secara objektif dan berlandaskan undang-undang.
Ia susulan dakwaan yang mengaitkan nama bapanya, Saari Sungib dengan kes penyelewengan RM230 juta dihadapi oleh dua individu termasuk timbalan pengerusi sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata sebarang kes perlu melalui proses perundangan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menghukum lebih awal.
"Kalau ada kekhilafan yang salah tetap salah dan perlu diambil tindakan melalui undang-undang. Dan sekiranya fakta itu tidak benar dan dibuktikan di mahkamah mereka tidak bersalah, netizen tidak boleh menjadi penghukum lebih awal," katanya ditemui di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.
Menurut Anfaal, tindakan mengaitkan keseluruhan organisasi atau individu tertentu hanya berdasarkan satu kes adalah tidak wajar kerana sesebuah pertubuhan dianggotai pelbagai latar belakang.
"Satu-satu pertubuhan itu sangat besar. Ada yang menjadi tokoh, aktivis dan profesional. Jadi hanya kerana satu kes kita tak boleh pukul rata semua yang berada dalam NGO itu terlibat sama," katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya lebih adil dalam membuat penilaian, walaupun mempunyai sentimen terhadap mana-mana pihak.
"Kita perlu objektif dan lebih adil, jika tidak bersalah kita jangan menghukum lebih awal," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan IKRAM memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan penahanan tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terbabit dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat.
Anfaal yang juga ahli seumur hidup IKRAM berkata beliau sebelum ini aktif dalam kepimpinan Wanita IKRAM, namun kini hanya terlibat secara tidak sepenuh masa selepas menyertai politik, termasuk menghadiri aktiviti sosial dan jaringan.
Menurutnya, bapanya pernah menjadi presiden sebuah pertubuhan sebelum ini selama kira-kira 10 tahun sebelum terlibat dalam politik, dengan fokus kepada gerak kerja dakwah serta pembangunan masyarakat melalui organisasi bukan kerajaan.
Beliau menegaskan latar belakang tersebut tidak wajar dijadikan asas untuk mengaitkan mana-mana individu dengan sesuatu kes, termasuk isu melibatkan IKRAM bernilai RM230 juta.








