Tiga ditahan SPRM, seleweng dana zakat RM230 juta

21 Apr 2026, 12:31 PM
Tiga ditahan SPRM, seleweng dana zakat RM230 juta

SHAH ALAM, 21 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

BH melaporkan, tangkapan dilakukan dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang hari ini melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an.

Sumber memaklumkan seorang lagi suspek berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua suspek, termasuk dua yang merupakan pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan penyelewengan berkenaan antara 2018 hingga 2024.

"Hasil siasatan awal turut mendapati timbalan pengerusi NGO terbabit dipercayai sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

"Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO itu adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli mengesahkan tangkapan berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut menyita pelbagai aset termasuk 18 kenderaan mewah seperti Porsche dan Mercedes, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta.

Turut dibekukan ialah 33 akaun bank melibatkan jumlah sekitar RM120 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.