SHAH ALAM, 23 APRIL: Komuniti Orang Asli berharap bantuan Kerajaan Negeri diteruskan secara konsisten serta usaha pewartaan tanah dipercepat bagi menjamin masa depan mereka.
Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Batin Hadi Anak Jembik berkata kesinambungan bantuan amat penting supaya masyarakat Orang Asli tidak terus terpinggir.
"Kami amat menghargai jasa Kerajaan Negeri dan EXCO yang banyak membantu. Harap ia diteruskan supaya Orang Asli tidak tercicir dan terpinggir termasuk pelajar-pelajar," katanya.
Selain itu, beliau berharap Kerajaan Negeri lebih prihatin terhadap isu tanah adat komuniti tersebut.
"Kami harap Kerajaan Negeri dapat wartakan tanah Orang Asli dimana sahaja yang kami teroka," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada lawatan ke Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini bersama 17 tok batin dari daerah Kuala Langat dan Klang hari ini.
"Kedatangan kami di sini amat bermakna dan kami dapat melihat sendiri sidang DNS yang kami tak pernah lihat selama hari ini," katanya.
Sementara itu, EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu mengalu-alukan kehadiran komuniti itu dalam lawatan berkenaan.
Beliau memaklumkan seramai 60 Tok Batin serta pengerusi kampung telah menyertai program sama sepanjang penggal ini.
"Kita akan jemput ramai lagi pada masa akan datang supaya mereka tidak terpencil dan dapat melihat sendiri bagaimana sidang dewan dan dewan rakyat berlangsung.
"Saya harap kita dapat bawa identiti sebenar Orang Asli kepada media untuk mempromosikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sambutan Hari Orang Asli Sedunia akan diadakan pada 9 Ogos di Hulu Selangor, selain penganjuran karnival Orang Asli peringkat kebangsaan bagi mencungkil bakat komuniti.
"Kita kena adakan karnival sukan sebab Orang Asli lasak dan berkebolehan. Kita cungkil bakat mereka untuk ke peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan Tok Batin bagi setiap komuniti Orang Asli menganjurkan pelbagai program komuniti dengan memanfaatkan peruntukan RM10,000 yang disediakan.
"Tok Batin kena rajin sikit guna pakai peruntukan yang disediakan dan buat apa-apa jenis program termasuk sukan dan gotong-royong atau program untuk anak-anak," katanya.









