SHAH ALAM, 23 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Sabah sehingga 12 tengah hari ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat di Perak ialah Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron.
Bagi Sabah, antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Tawau, Kunak dan Semporna.
Menurut agensi itu, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi tempoh satu jam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta mengambil langkah keselamatan terutama di kawasan berisiko banjir kilat dan angin kencang.








