MBDK terima RM1.15 juta perkukuh keselamatan bandar di Klang dan Kapar

27 Mei 2026, 5:00 AM
MBDK terima RM1.15 juta perkukuh keselamatan bandar di Klang dan Kapar

SHAH ALAM, 27 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerima peruntukan pembangunan sejumlah RM1.15 juta menerusi penyertaan Program Bandar Selamat 2.0 Tahun 2026 bagi memperkukuh aspek keselamatan awam di beberapa kawasan berisiko tinggi sekitar daerah itu.

Menurut Datuk Bandar MBDK, Dato' Haji Abdul Hamid Hussain, program itu dicadangkan dilaksanakan di Bandar Sentosa, Mukim Klang serta Pekan Kapar di Mukim Kapar yang dikenal pasti mempunyai indeks jenayah tinggi.

“Inisiatif ini memberi fokus kepada pembangunan fizikal seperti pemasangan pencahayaan, cermin keselamatan, penggera keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan tahap keselamatan komuniti,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan turut membantu memperkukuh agenda Bandar Pintar Klang selain menyokong pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDGs).

Sementara itu, MBDK turut menerima sebuah bas baharu jenis semi high deck berkapasiti 44 penumpang menggunakan casis Scania K360 dan badan model TQ Z12 bertaraf standard antarabangsa bernilai RM986,700.

Bas baharu ini akan digunakan bagi menyokong urusan dan keperluan rasmi MBDK selain meningkatkan keselesaan serta kemudahan kepada warga kerja pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Terdahulu, majlis perasmian penyerahan bas baharu tersebut diadakan selepas Mesyuarat Penuh MBDK Bilangan 5/2026 bagi memperkenalkan kemudahan baharu itu secara rasmi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.