SHAH ALAM, 8 JUN: Kerja pembersihan dan pengorekan mendapan longkang monsun di seluruh Klang sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan RM6.2 juta bagi meningkatkan kecekapan saliran serta mengurangkan risiko banjir.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata kerja berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh sembilan bulan menerusi empat fasa pelaksanaan secara berperingkat.
Menurutnya, MBDK melantik 32 kontraktor bagi menjalankan kerja pembersihan kerana syarikat terbabit mempunyai kelengkapan serta tenaga kerja mencukupi untuk membersihkan longkang yang dipenuhi tumbuhan liar, mendapan lumpur dan sampah.
“Kontraktor menggunakan jentera seperti backhoe selain kaedah pembersihan secara manual bagi memastikan aliran air tidak terhalang,” katanya seperti dilapor StarMetro.
Beliau berkata pihaknya turut menemukan pelbagai barangan buangan bersaiz besar termasuk tilam dan perabot rosak yang dibuang ke dalam longkang monsun sehingga mengganggu aliran air.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab membuang sisa pukal ke dalam longkang menyebabkan sampah, lumpur dan sisa organik terkumpul lalu mengakibatkan air melimpah ke kawasan perumahan berhampiran ketika hujan lebat.

Zaireezal memaklumkan fasa pertama kerja pembersihan bermula bulan ini dan dijadual berakhir pada Ogos depan.
Bagi fasa pertama, kerja pembersihan melibatkan kawasan Taman Meru Indah, Kawasan Bukit Kapar 2, Bukit Kapar 1, Taman Sri Kapar, Taman Meru Putra, Taman Desa Permai 3 dan Taman Desa Bukit Nilam.
Turut terlibat dalam fasa berkenaan ialah Jalan Teratai, Jalan Abadi 1A, Jalan Dahlia, Jalan Beruas, Jalan Puding, Jalan Bunga Raya dan Jalan Kenangan.
Selain itu, kerja pembersihan dijalankan di Jalan Khamis, Jalan Kasban, Jalan Jabbar, Jalan Kassim, kawasan perindustrian Jalan Salleh, Jalan Abdul Manan 1 serta Jalan Abdul Manan.
Beliau berkata fasa kedua akan berlangsung dari 1 September hingga 25 Oktober, diikuti fasa ketiga bermula 26 Oktober hingga 20 Disember, manakala fasa terakhir dijadualkan dari 21 Disember sehingga 14 Februari 2027.
Menurutnya, operasi pembersihan berskala besar turut dilaksanakan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir termasuk Taman Eng Ann, Taman Berkeley, Klang Utama, Sementa, Klang Perdana, Rantau Panjang, Bandar Bukit Raja 1 dan 2 serta Bandar Sultan Suleiman 1 dan 2.
Zaireezal berkata pihaknya akan memantau kerja pembersihan di kawasan lain termasuk Jalan Dato Tahir Manan, Jalan Haji Sirat, Jalan Sungai Puloh, Jalan Goh Hock Huat dan Jalan Bakti bersama KDEB Waste Management, selain tindakan tegas termasuk pengeluaran kompaun serta arahan pembersihan segera akan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan kerja mengikut piawaian ditetapkan.






