EXCO nasihat elak pembelian panik, pilih produk tempatan

22 Apr 2026, 1:00 PM
EXCO nasihat elak pembelian panik, pilih produk tempatan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Rakyat Selangor dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik sebaliknya mengutamakan produk tempatan bagi memastikan kestabilan bekalan makanan di pasaran.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, tindakan membeli barangan secara berlebihan boleh memberi kesan kepada harga serta ketersediaan bekalan.

“Jika rakyat membeli dan menyimpan stock-pile dalam kuantiti besar di rumah, situasi ini boleh menyebabkan harga melambung tinggi.

“Tambahan pula, setiap barangan mempunyai tarikh luput. Pembelian berlebihan boleh mencetuskan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam temu ramah bersama Selangor FM.

Izham turut memberi jaminan Kerajaan Negeri sentiasa memantau bekalan makanan termasuk barangan import bagi memastikan ia mencukupi untuk keperluan rakyat.

Dalam pada itu, Izham berharap rakyat dapat mengubah sikap dengan memberi tumpuan kepada produk agro makanan keluaran tempatan.

Izham turut menjelaskan Selangor sebagai sebuah negeri perindustrian mempunyai sumbangan sektor pertanian yang lebih kecil, justeru masih bergantung kepada sumber import bagi memenuhi keperluan makanan.

“Kita galakkan rakyat beralih kepada makanan lebih sihat seperti betik, pisang dan melon yang mempunyai sumber zat dan galian banyak dihasilkan di Selangor.

“Begitu juga dengan sayur-sayuran kita boleh cuba dengan keluaran tempatan sebagai alternatif bukan sahaja mengurangkan kebergantungan bekalan import tetapi meningkatkan tahap kesihatan,” ujarnya.

Konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah menjejaskan laluan perdagangan penting di Selat Hormuz.

Penutupan laluan strategik itu, yang merupakan antara nadi utama perdagangan minyak dunia, turut mencetuskan krisis tenaga global dan mendorong banyak negara termasuk ASEAN bersiap sedia menghadapi kenaikan harga bahan api serta melaksanakan langkah penjimatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.