Bekalan barangan asas dijamin cukup, tidak perlu pembelian panik - KPDN KL

14 Apr 2026, 2:34 AM
Bekalan barangan asas dijamin cukup, tidak perlu pembelian panik - KPDN KL

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat kerana bekalan barangan asas mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata pihak kementerian akan sentiasa memantau dan menyelia harga barang sepanjang tempoh konflik berkenaan.

"KPDN Kuala Lumpur memberikan jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.

“Pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN Kuala Lumpur telah digerakkan secara berterusan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh ibu negara.

Mohd Shahran berkata KPDN Kuala Lumpur turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) serta Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.

Beliau berkata kementerian itu juga melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi di semua stesen minyak, termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar.

“Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap barangan kawalan melalui Ops Tiris 4.0 bersepadu akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyelewengan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Orang ramai yang mengesan sebarang masalah berkaitan bekalan barangan keperluan di kawasan masing-masing diminta melaporkannya terus kepada pihak KPDN Kuala Lumpur untuk tindakan segera,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.