Tiada pembelian panik, bekalan barangan kekal stabil

9 Apr 2026, 2:31 AM
Tiada pembelian panik, bekalan barangan kekal stabil

SHAH ALAM, 9 APRIL: Tiada tanda-tanda pembelian panik dalam kalangan orang ramai setakat ini, apabila peniaga melaporkan corak pembelian kekal normal dan bekalan barangan masih mencukupi meskipun konflik di Asia Barat semakin memuncak.

Tinjauan Media Selangor di beberapa kedai runcit dan pasar mini sekitar Shah Alam mendapati pengguna membeli seperti biasa, tanpa peningkatan luar biasa atau pembelian berlebihan.

Seorang kakitangan Murah Raya Enterprise, Muhammad Ahyar, 26, berkata tiada perubahan ketara dalam corak pembelian sejak sebulan lalu, dengan pelanggan membeli pada kadar biasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pembekal memberi bayangan kemungkinan kenaikan harga barangan pada bulan hadapan walaupun bekalan ketika ini masih stabil.

“Jika harga pasaran meningkat, kami terpaksa menaikkan harga jualan,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat turut memberi kesan kepada rantaian bekalan global susulan sekatan di Selat Hormuz yang menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan bahan api serta peningkatan kos barangan.

Kakitangan Murah Raya Enterprise, Muhammad Ahyar, 26, membantu seorang pelanggan membuat pembelian di kedai tersebut di Seksyen 7, Shah Alam pada 7 April 2026.

Seorang lagi pekerja, Nur Azzatul Azlyn, 27, dari Solihin Mart Enterprise berkata bekalan di premisnya tidak menunjukkan sebarang gangguan, malah stok diisi semula seperti biasa.

Beliau turut menjelaskan harga barangan masih terkawal setakat ini.

“Konflik ini tidak menyebabkan perubahan ketara dalam corak pembelian. Perubahan harga barangan seperti telur, ayam dan minyak adalah perkara biasa, tetapi tiada kenaikan mendadak,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Kedai Runcit Mek Melor, Fakhrurrazi, 39, berkata orang ramai pada awalnya banyak bertanya mengenai harga barangan, namun kini semakin memahami situasi dan tidak lagi panik.

“Perang berlaku jauh dari negara kita. Walaupun ada sedikit kesan, tidak perlu panik membeli. Kita hanya perlu berwaspada.

“Alhamdulillah, keadaan di Malaysia masih stabil, bekalan mencukupi dan harga barangan juga masih terkawal,” katanya.

Pekerja Solihin Mart Enterprise, Nur Azzatul Azlyn, 27, menjalankan tugas di kedai tersebut di Seksyen 7, Shah Alam pada 7 April 2026.

Dalam perkembangan sama, pekerja Kedai Runcit Aqilah Khayla, Ramadhan, 24, berkata pihaknya dimaklumkan pembekal mengenai kemungkinan kenaikan harga susulan bekalan yang mula berkurangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat persediaan sewajarnya tanpa melakukan pembelian panik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.