SHAH ALAM, 7 JUN: Rakyat disaran mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah dan praktikal, bukannya mengubah gaya hidup secara drastik, bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata langkah itu penting bagi membantu isi rumah mengukuhkan daya tahan kewangan ketika dunia berdepan pelbagai cabaran, termasuk konflik di Asia Barat.
Menurutnya, kerajaan tidak meminta rakyat menghentikan aktiviti harian seperti memandu atau membatalkan percutian, sebaliknya menggalakkan penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab dan bijak.
"Kerajaan tidak menggesa perubahan gaya hidup secara 'drastik', sebaliknya menggalakkan penyesuaian yang lebih praktikal. Kerajaan tidak meminta rakyat Malaysia berhenti memandu, membatalkan rancangan percutian atau mengelakkan sepenuhnya penggunaan produk plastik.
"Sebaliknya, mesejnya ialah supaya kita lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam cara kita menggunakan serta memanfaatkan sumber. Negara berada pada kedudukan paling kukuh apabila kerajaan, perniagaan dan rakyat bertindak balas secara tenang, bertanggungjawab dan bersama-sama.
"Matlamatnya bukan perubahan gaya hidup secara drastik, tetapi kepenggunaan yang lebih bijak dan bertanggungjawab, maka penyesuaian kecil yang dibuat oleh jutaan isi rumah secara kolektif boleh mengukuhkan daya tahan Malaysia ketika berdepan ketidaktentuan global," katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Nurhisham berkata gangguan dalam rantaian bekalan global berpotensi menjejaskan harga bahan berasaskan petroleum dan barangan import dari semasa ke semasa, namun rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik atau menyimpan stok secara berlebihan.
Sebaliknya, beliau menyarankan pengguna membeli berdasarkan keperluan sebenar dan mengelakkan pembaziran yang boleh meningkatkan beban perbelanjaan isi rumah.
Beliau turut menggesa orang ramai mengurangkan pembaziran makanan, elektrik dan air, selain mengamalkan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
"Gunakan tenaga secara lebih cekap seperti menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius atau lebih tinggi, mematikan peralatan yang tidak digunakan dan mengelakkan penggunaan tenaga yang tidak perlu," katanya.
Nurhisham berkata, selain berjimat cermat, rakyat juga digalakkan menyokong produk dan perniagaan tempatan bagi membantu memperkukuh ekonomi domestik serta rantaian bekalan negara.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan sahih, bukannya mempercayai dakwaan atau spekulasi yang tersebar di internet.
"Kerajaan terus memantau perkembangan global dengan rapat dan telah mengaktifkan pelbagai langkah penstabilan serta persediaan bagi membantu mengurus tekanan luaran yang melibatkan pasaran tenaga, laluan perkapalan dan rantaian bekalan global.
"Bersama tindakan yang diselaraskan antara perniagaan dan rakyat, kami yakin negara akan muncul lebih kukuh berbanding sebelum ini," katanya.










