Selangor pergiat saringan awal warga emas, kesan penyakit kronik lebih awal

23 Apr 2026, 1:00 AM
Selangor pergiat saringan awal warga emas, kesan penyakit kronik lebih awal
Selangor pergiat saringan awal warga emas, kesan penyakit kronik lebih awal
Selangor pergiat saringan awal warga emas, kesan penyakit kronik lebih awal
Selangor pergiat saringan awal warga emas, kesan penyakit kronik lebih awal

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Negeri mempergiat program saringan kesihatan awal dalam kalangan warga emas bagi mengesan penyakit tidak berjangkit lebih awal sekali gus memastikan golongan itu terus sihat dan aktif.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata langkah berkenaan penting susulan peningkatan kes penyakit kronik dalam kalangan warga emas yang memerlukan pendekatan lebih strategik dan berterusan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Program kesihatan warga emas ini dilaksanakan di sembilan daerah dan sejak diperkenalkan tahun lalu, seramai 1,953 warga emas telah menjalani saringan kesihatan di bawah inisiatif ini.

“Program dilaksana secara ‘outreach’ bagi memastikan akses kesihatan dibawa terus ke komuniti, khususnya kepada warga emas,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, selain saringan, program itu turut merangkumi intervensi awal secara berstruktur seperti ceramah kesihatan, senaman khas warga emas dan rawatan fisioterapi yang dijalankan secara berkala selama tiga bulan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan fizikal, malah memperkukuh kesedaran serta amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melakukan aktiviti bersama peserta ketika pelancaran program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Jamaliah memaklumkan usaha pendidikan kesihatan turut dipergiat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko penyakit kronik dan keuzuran.

Menurutnya, langkah pencegahan dan pengesanan awal penting bagi mengurangkan komplikasi kesihatan serta mengekang peningkatan kos rawatan seiring pertambahan populasi menua.

“Program seperti Selangor Saring turut melengkapkan inisiatif sedia ada dengan menyediakan saringan kesihatan percuma bagi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, kanser dan masalah buah pinggang.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat, termasuk warga emas, mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan berkualiti tanpa mengira latar belakang,” ujarnya.

Orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan percuma dalam Program Selangor Saring DUN Kampung Tunku di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas menunjukkan 39 peratus golongan itu menghidap diabetes, manakala 73 peratus mengalami tekanan darah tinggi.

Selain itu, 76 peratus direkodkan mempunyai paras kolesterol tinggi dan 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua daripada tiga penyakit kronik berkenaan.

Malah, 30 peratus warga emas dilaporkan menghidap ketiga-tiga penyakit tersebut, sementara 30.6 peratus tidak aktif secara fizikal dan 12.8 peratus lagi terlibat dalam tingkah laku sedentari yang tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.