SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 1,505 kanak-kanak di Selangor telah menjalani saringan perkembangan awal menerusi projek perintis program Saringan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Selangor (SPAKS) sejak Oktober 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata daripada jumlah itu, 1,325 kanak-kanak layak untuk penilaian lanjut bagi mengenal pasti sebarang isu perkembangan yang memerlukan intervensi awal.
Menurutnya, hasil penilaian lanjutan program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor itu, 142 kanak-kanak dikenal pasti memerlukan intervensi awal dalam fasa dua program yang dijangka bermula suku kedua tahun depan.
“Kita berjaya saring kanak-kanak di 117 tadika KEMAS seluruh Selangor yang turut merangkumi tadika daripada kalangan kanak-kanak Orang Asli selain penganjuran saringan semasa program di bawah Kerajaan Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, saringan melibatkan kanak-kanak berumur tiga hingga lima itu, dilaksana petugas terlatih yang menggunakan peranti digital seperti tablet atau telefon pintar menerusi aplikasi berasaskan permainan interaktif menggunakan teknologi kecerdasan buatan dari Jepun.
Katanya, kanak-kanak perlu menjawab soalan atau tugasan dalam tempoh masa ditetapkan, sementara petugas memerhati respons dan reaksi mereka, menggunakan pendekatan yang menggabungkan penggunaan teknologi digital dan AI bagi memastikan kaedah saringan lebih mesra kanak-kanak serta berkesan.
“Hasil jawapan kanak-kanak yang kita kumpulkan. Kemudian kita e-mel kepada ibu bapa, untuk mereka jawab beberapa soalan kaji selidik pula untuk membantu melengkapkan laporan penilaian seseorang kanak-kanak itu berdasarkan berdasarkan lima domain yang diukur.
“Ia termasuk motor kasar, motor halus, bahasa, kognitif dan juga pergaulan sosial mereka,” katanya.
Sebelum ini, Pei Nei berkata Selangor menyasarkan 1,500 kanak-kanak berusia antara tiga hingga lima tahun disaring menerusi program perintis itu.
SPAKS dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 Disember 2024, sebagai satu inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam memastikan perkembangan awal kanak-kanak diberi perhatian sewajarnya.
Ia merupakan projek perintis Kerajaan Selangor yang menawarkan saringan perkembangan awal kanak-kanak percuma ke arah meningkatkan aksesibiliti keluarga B40 terhadap saringan perkembangan awal kanak-kanak menggunakan inovasi kecerdasan buatan.


