SHAH ALAM, 22 APRIL: Bekalan makanan di Selangor kekal stabil dan mencukupi dengan pemantauan harian dilaksanakan bagi memastikan rantaian bekalan terus terjamin.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata keadaan semasa jauh berbeza berbanding ketika pandemik Covid-19 apabila sekatan pergerakan menjejaskan rantaian bekalan.
“Ketika ini, aktiviti ekonomi dan logistik masih berjalan seperti biasa, justeru rantaian bekalan makanan tidak terjejas. Bekalan bahan api seperti minyak dan diesel masih mencukupi untuk tempoh satu hingga dua bulan walaupun berdepan peningkatan kos.
“Negeri turut mempunyai stok mencukupi melibatkan baja, makanan ternakan serta simpanan makanan yang mampu menampung keperluan kira-kira tujuh juta penduduk Selangor,” katanya dalam rancangan Teh Tarik Kopi O bersama Selangor FM.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri kini memantau perkembangan gelombang kedua kenaikan harga barangan asas pertanian susulan peningkatan kos bahan bakar akibat konflik di Asia Barat.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri sedang merangka langkah persediaan awal bagi menghadapi kesan kenaikan kos tersebut, khususnya dalam sektor pertanian dan bekalan makanan.
“Gelombang kedua ini sudah mula dirasai apabila produk hiliran petroleum seperti bitumen menunjukkan kenaikan harga sehingga sekali ganda.
“Kenaikan kos bahan hiliran petroleum dijangka memberi kesan langsung kepada harga baja, sekali gus berpotensi menyebabkan peningkatan harga makanan dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang,” ujarnya.
Konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah menjejaskan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Penutupan laluan tersebut yang menjadi antara saluran utama perdagangan minyak dunia turut mencetuskan krisis tenaga global, sekali gus mendorong banyak negara termasuk ASEAN bersedia menghadapi kenaikan harga bahan api dan langkah penjimatan.








