SABAK BERNAM, 4 JUN: Inisiatif pertama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bernilai RM131 juta dilancarkan secara rasmi hari ini, dengan lebih 14,000 pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur di seluruh negeri bakal menerima pelbagai bentuk bantuan.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim berkata bantuan tersebut bertujuan membantu pemain industri menangani peningkatan kos operasi, memastikan kesinambungan pengeluaran makanan serta memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri.
Katanya, bantuan yang disediakan merangkumi bantuan tunai kepada pesawah, bantuan baja kepada petani, subsidi bahan api kepada nelayan serta bantuan makanan ternakan kepada penternak dan pengusaha akuakultur.

“Ini merupakan inisiatif pertama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor yang dilancarkan secara rasmi. Kebanyakan inisiatif lain dijangka mula dilaksanakan pada penghujung bulan ini. Bagi nelayan, kita menyediakan tambahan RM300 sebulan selama enam bulan menerusi subsidi petrol dan diesel.
“Bagi pesawah pula, kita menyalurkan bantuan tunai RM500 bagi setiap hektar,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran inisiatif tersebut hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, turut menyampaikan bantuan kepada penerima terpilih bersempena program Gagasan Rumpun Selangor 2.0.
Izham berkata pakej bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 14,131 penerima, dengan langkah sokongan yang dirangka khusus untuk mengurangkan beban pemain sektor pertanian dan memastikan aktiviti pengeluaran makanan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Objektif kami adalah membantu golongan petani dan pengusaha sektor makanan meneruskan aktiviti mereka dengan mengurangkan beban kos operasi yang semakin meningkat, supaya pengeluaran makanan dan jaminan bekalan makanan dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata agihan bantuan akan dimulakan serta-merta selepas pelancaran, dengan penerima boleh mendapatkan bantuan masing-masing melalui pejabat pertanian daerah.
Selain bantuan langsung kepada pemain industri, kerajaan negeri turut menambah peruntukan Program Jualan Ehsan Rahmah sebanyak RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu RM10 juta tahun ini.
Izham berkata Selangor juga memperkukuh inisiatif Gudang Makanan Selangor menerusi peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok simpanan makanan asas seperti beras, ayam, ikan, daging lembu dan minyak masak.
Pada 16 April lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Fasa Pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Di bawah pakej tersebut, kerajaan negeri antaranya akan mengagihkan baucar Kita Selangor bernilai RM100 kepada 50,000 isi rumah selama enam bulan, selain menyediakan makanan percuma kepada pelajar di 873 sekolah seluruh Selangor bermula Ogos ini.









