SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan pembinaan loji penyahgaraman air laut sebagai langkah strategik bagi mempelbagaikan sumber bekalan air jangka panjang di negeri ini.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata cadangan itu kini dalam penelitian bersama pihak berkaitan termasuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sebagai usaha memperkukuh kelestarian sumber air negeri.
“Selain penyahgaraman air laut, Kerajaan Negeri turut meneliti penggunaan kolam takungan sedia ada secara lebih sistematik menerusi pelaksanaan Skim Selangor Off-River Storage (ORS) yang melibatkan lebih 185 kolam bekalan air di seluruh negeri, selain projek HORAS 3000 yang sedang dilaksanakan.
“Pendekatan ini adalah antara usaha yang kita ambil bagi memastikan jaminan sumber air mencukupi untuk masa hadapan tidak hanya bergantung kepada sumber air permukaan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berhubung bekalan air di Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Mengulas kebimbangan terhadap impak kepada tarif air, Izham menjelaskan teknologi penyahgaraman sebelum ini dilihat kurang ekonomik berikutan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan teknologi dan peningkatan skala penggunaan global kini mengubah keadaan tersebut.
“Dahulu kosnya tinggi dan tidak berdaya saing tetapi kini kita lihat trend seperti teknologi solar, apabila pengeluaran meningkat kos semakin menurun dan menjadi lebih kompetitif.
“Sama juga dengan loji penyahgaraman, kos pembinaan dan operasi menunjukkan penurunan ketara, sekali gus membuka potensi untuk dilaksanakan secara lebih ekonomik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri telah menerima beberapa cadangan projek dengan kapasiti sehingga 300 juta liter sehari, melibatkan dua lokasi yang sedang dinilai dari segi teknikal, strategi serta keupayaan ekonomi.
“Keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh termasuk aspek kos, keperluan strategik dan model perniagaan bagi memastikan pelaksanaan memberi manfaat optimum kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata margin rizab bekalan air semasa di Selangor berada pada tahap 17.4 peratus atau 1,139 juta liter sehari.
“Berdasarkan panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, margin rizab air melebihi 15 peratus dikategorikan sebagai tinggi.
“Pada masa ini, jumlah keupayaan pengeluaran air bersih dari 34 loji rawatan air adalah 6,500 juta liter sehari, manakala permintaan purata pengguna adalah sebanyak 5,370 juta liter sehari,” katanya.








