Selangor sedia pelan hadapi kesan konflik Asia Barat, tumpu kesejahteraan rakyat

21 Apr 2026, 4:02 AM
Selangor sedia pelan hadapi kesan konflik Asia Barat, tumpu kesejahteraan rakyat
Selangor sedia pelan hadapi kesan konflik Asia Barat, tumpu kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Negeri masih mampu bertahan mendepani kesan konflik peperangan Asia Barat yang berlaku ketika ini memandangkan titik panas krisis global itu dijangka hanya dirasai menjelang September ini.

Bagaimanapun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan, pihaknya sudah merangka pelan strategik sehingga tempoh setahun supaya negeri mampu terus bertahan sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kita belum sampai tahap kritikal atau titik panas sebab harga bahan bakar ketika ini, kesan daripada situasi empat, lima bulan sebelum ini. Untuk tempoh beberapa bulan akan datang, ia bergantung kepada keadaan sekarang.

“Sebab itu kita kena berhati-hati terhadap senarai program. Kita beri tumpuan kepada semua industri selain golongan berpendapatan rendah (B40).

"Pentadbiran akan sentiasa memantau dan meneliti perkembangan konflik ini supaya mampu membuat perbincangan dan persediaan awal untuk semua sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan berhubung kesan peperangan Asia Barat di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata bagi tempoh setahun ini, pihaknya merangka pelan ekonomi dengan tumpuan kepada usaha menangani kesan peningkatan harga barang, kos sara hidup seterusnya menyerap tekanan dihadapi kumpulan rentan.

“Aspek kedua mempertahankan industri dan kegiatan ekonomi yang mungkin terkesan secara langsung dan tidak langsung akibat daripada krisis tersebut.

"Ketiga, meneroka peluang baru supaya negeri mempunyai daya tahan pada masa hadapan. Apabila berlaku semula krisis seperti ini kita mampu menyerap kesannya seperti meneroka tenaga baru atau penggunaan kenderaan awam,” katanya.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan komunikasi dengan masyarakat supaya krisis tenaga ini difahami termasuk kesan jangka pendek dan panjang.

Minggu lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini, dengan fasa pertama yang bermula Jun ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.

Menurut Amirudin, pakej yang menyediakan bantuan bersasar kepada golongan rentan itu menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026, yang disusun semula mengikut keperluan semasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.