SHAH ALAM, 21 APRIL: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyertai Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna ke-63 di Bologna, Itali yang berlangsung dari 13 hingga 15 April lalu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata beliau mengetuai delegasi PPAS yang turut disertai Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Dr Haniff Zainal Abidin serta Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad.
Menurutnya, pesta buku berprestij yang dianjurkan lebih 60 tahun itu menghimpunkan ratusan pengarang, ilustrator, penerbit dan usahawan dalam industri buku kanak-kanak dari seluruh dunia.
Mohd Najwan berkata penyertaan sulung PPAS itu turut membuka peluang apabila organisasi berkenaan diberi penghormatan oleh International Board on Books for Young People (IBBY) sebagai penganjur Anugerah Hans Christian Andersen 2027.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi kepada penulis dan ilustrator buku kanak-kanak di peringkat antarabangsa sejak 1956,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam lawatan tersebut, delegasi PPAS turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna, Elena Pasoli yang berkongsi pengalaman mengembangkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dan generasi muda.
Selain itu, delegasi turut bertemu wakil dari Turki bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penterjemahan buku antara kedua-dua negara.










