SHAH ALAM, 21 APRIL: Semua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan mempunyai warden sepenuh masa bermula tahun depan bagi memperkukuh pengurusan pelajar di asrama.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelantikan warden itu akan melibatkan bekas anggota beruniform yang dipilih secara ketat.
Menurutnya, mereka juga diwajibkan menjalani latihan khusus bagi memahami Falsafah Pendidikan MARA sebelum ditempatkan di MRSM.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan pengurusan asrama lebih tersusun selain mengurangkan beban tugas guru.
“Guru-guru tidak perlu lagi terbeban dengan tugas warden dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran, pendidikan serta kemenjadian pelajar,” katanya di Facebook.
Pada Ogos tahun lepas, Asyraf mengumumkan MARA melaksanakan projek rintis pelantikan veteran ATM sebagai warden di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan Besut, Terengganu.
Katanya, inisiatif dibuat selama enam bulan untuk tangani isu buli yang wajib dibanteras untuk memutuskan rantaian keganasan sosial tersebut.








