Semua MRSM guna warden bekas tentera mulai 2027, bantu kurangkan buli

29 Sep 2026, 2:13 AM
Semua MRSM guna warden bekas tentera mulai 2027, bantu kurangkan buli

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera mulai 1 Januari 2027.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat selepas Majlis MARA meneliti hasil Kajian Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Menurutnya, kajian berkenaan menunjukkan pelantikan warden sepenuh masa memberi kesan positif terhadap disiplin, keselamatan fizikal asrama serta pengurangan kes buli dan vandalisme.

“Warden bekas tentera didapati berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama, selain menerima penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir.

“Kehadiran warden yang kerap dan sistematik juga meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf berkata dapatan kajian turut menunjukkan pelajar berasa lebih selamat dan berdisiplin, selain lebih teratur dari segi pengurusan masa, kekemasan diri, adab serta nilai hormat.

Pada masa sama, pelantikan warden sepenuh masa turut membantu mengurangkan beban guru supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab hakiki termasuk kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah pelajar.

Beliau menjelaskan, inisiatif itu mula digerakkan selepas menerima banyak aduan daripada guru MRSM yang perlu menggalas tugas tambahan sebagai warden dengan elaun RM300 sebulan.

Katanya, keadaan itu dilihat kurang sesuai memandangkan guru turut mempunyai tanggungjawab hakiki dan secara realistik tidak mampu melakukan rondaan sepanjang masa terutama pada sebelah malam dan awal pagi.

“Kejadian buli dan penderaan biasanya berlaku pada waktu-waktu seperti ini.

“Justeru dengan mewujudkan jawatan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera yang pencen pada usia masih produktif seperti 40-an, ia bukan sahaja membuka peluang kerjaya kepada mereka malah boleh membantu mendisiplinkan pelajar,” katanya.

Asyraf berkata hasil kajian turut menunjukkan penurunan ketara masalah disiplin, manakala kes buli sepanjang pelaksanaan projek rintis dilaporkan hampir sifar.

Susulan dapatan positif itu, 10 MRSM telah melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera sejak Julai lalu.

Menurut beliau, hasil awal pelaksanaan di MRSM terbabit juga menunjukkan penurunan kes disiplin secara drastik.

Beliau turut meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden baharu serta melanjutkan kajian bagi menangani isu buli mental secara lebih holistik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.