ad

UPSR bentuk disiplin dan daya saing pelajar, bukan sekadar ujian - Asyraf Wajdi

10 Nov 2025, 9:57 AM
UPSR bentuk disiplin dan daya saing pelajar, bukan sekadar ujian - Asyraf Wajdi
UPSR bentuk disiplin dan daya saing pelajar, bukan sekadar ujian - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM, 10 NOV: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan alasan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai tidak munasabah dan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaannya.

Menurut beliau, jika benar peperiksaan dikatakan melahirkan generasi “burung kakak tua”, maka peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga seharusnya dimansuhkan kerana turut menilai penguasaan ilmu pelajar.

“UPSR penting untuk mengukur tahap penguasaan pelajar di peringkat sekolah rendah dan membantu guru mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki. Maka, ia wajar dikembalikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dr Asyraf turut menggariskan lima alasan utama mengapa peperiksaan itu perlu diperkenalkan semula, termasuk peranannya membentuk disiplin, tanggungjawab serta ketahanan diri murid menghadapi cabaran.

“Peperiksaan mencanai nilai penting seperti perancangan, usaha gigih dan disiplin masa. Ia juga mendidik anak-anak erti sabar, tawakal dan usaha berterusan kerana kejayaan tidak datang dengan mudah,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan UPSR menjadi mekanisme saringan penting bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah menengah agama, selain mendorong daya saing sihat dalam kalangan pelajar.

Berdasarkan tinjauan dibuat Media Selangor di Facebook semalam, kira-kira 90 peratus responden bersetuju peperiksaan besar di peringkat sekolah rendah itu dikekalkan sebagai medium menilai kefahaman dan pencapaian murid.

Malah, ramai dalam kalangan ibu bapa turut menyuarakan harapan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan lima tahun lalu dikembalikan semula bagi memastikan sistem pendidikan lebih seimbang antara akademik dan pembentukan sahsiah.

Mulai 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.

Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata pemansuhan dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat Covid-19.

Susulan pemansuhan UPSR, katanya pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan diperkasa bagi murid berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.