SHAH ALAM, 21 APRIL: Semua Ahli Dewan Negeri (ADN) diseru memastikan setiap perbahasan sepanjang Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung berlandaskan fakta sahih.
Speaker DNS, Lau Weng San berkata perbahasan juga perlu dilaksanakan secara saksama, objektif dan berhemah bagi memelihara kemuliaan serta integriti institusi legislatif negeri.
Menurutnya, semua ADN diyakini akan meneliti dan membahaskan titah Tuanku dengan penuh tanggungjawab kerana intipatinya mencerminkan kepimpinan yang menuntut kecemerlangan perkhidmatan awam serta kestabilan politik demi pembangunan negeri.

"Ini kerana intipati titah Tuanku adalah satu manifestasi kepimpinan Baginda yang menuntut kecemerlangan perkhidmatan awam dan kestabilan politik dalam pembangunan negeri.
"Keprihatinan Tuanku terhadap kelestarian alam dan kesejahteraan sosial juga membuktikan bahawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan tertinggi dalam pemerintahan Baginda," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan menerusi Majlis Santapan Malam sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.
Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin; Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Weng San turut menzahirkan kesyukuran kerana terus diberi amanah untuk bersama ADN memperkukuh institusi legislatif berteraskan data empirikal dan fakta sahih, tanpa dipengaruhi tekanan atau reaksi semasa.
“Patik ingin memberikan peringatan tulus buat diri patik dan rakan ADN bahawa rakyat Selangor sering memerhati kita menerusi siaran langsung Media Selangor dan kehadiran pelawat.
“Oleh itu, tuntutan integriti adalah mutlak. Gunakanlah pentas dewan ini untuk menzahirkan idea bernas yang mampu menterjemah aspirasi rakyat ke arah kejayaan negeri,” katanya.









