Mayat berbungkus kanvas ditemui di Pulau Angsa, dipercayai dibunuh

20 Apr 2026, 1:21 PM
Mayat berbungkus kanvas ditemui di Pulau Angsa, dipercayai dibunuh

SHAH ALAM, 20 APRIL: Orang awam yang sedang memancing di Pulau Angsa, Jeram, Kuala Selangor menemui satu mayat yang dibungkus dengan kanvas dan diikat dengan tali.

Mayat berbau busuk dan terdampar di tebing batu itu ditemui kira-kira jam 4.50 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata sejurus menerima panggilan telefon, polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan dijalankan anggota forensik mendapati mayat itu sudah mereput sebelum dibawa ke Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azaharudin berkata, proses bedah siasat dijalankan jam 9 pagi tadi mendapati mayat terbabit seorang lelaki.

“Punca kematian mangsa disebabkan lemas akibat dijerut di leher. Setakat ini identitinya belum dapat dikenal pasti.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan Khairol Hiysham Shamsudin di talian 03-32891222.

Terdahulu, tular rakaman berdurasi 22 saat yang memaparkan penemuan mayat dalam keadaan berbungkus di Pulau Angsa.

Insiden itu disaksikan orang awam yang sedang memancing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.