Kumpulan MBI teroka pelaburan baharu, jana pendapatan mampan

20 Apr 2026, 1:26 PM
Kumpulan MBI teroka pelaburan baharu, jana pendapatan mampan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor berhasrat meneroka pelbagai potensi pelaburan baharu tanpa terhad kepada sektor hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata antara perancangan ialah mengambil alih syarikat berpotensi bagi meraih pendapatan mampan sekali gus mencapai sasaran keuntungan tahun ini.

“Di MBI sendiri, kami melihat potensi-potensi baharu, dimana kami tidak ingin terlalu bergantung kepada sektor hartanah. Jadi, insya-Allah ada beberapa syarikat yang berpotensi akan kami cuba ambil alih.

“Kami akan melabur dari syarikat ini supaya MBI ada pendapatan yang mampan pada masa akan datang iaitu dengan sasaran RM6 bilion. Insya-Allah kita akan melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM8 bilion,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Tautan Muhibah Kumpulan MBI Selangor di Pusat Konvesyen Setia City di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata MBI berusaha menyesuaikan keadaan semasa dengan kesan krisis Asia Barat, termasuk menilai modul serta potensi perniagaan yang lebih mampan.

Sebagai badan korporat negeri yang memacu pelaburan strategik, Saipolyazan menambah, MBI perlu terus mengukuhkan kesinambungan pendapatan bagi memacu ekonomi serta bantuan kepada rakyat.

“Kita cuba memastikan bahawa kesinambangan pendapatan ini dapat ditukarkan dan rakyat Selangor terus dibantu dengan keuntungan yang dihasilkan oleh MBI Selangor,” katanya.

Keadaan di Asia Barat semakin meruncing sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas Tehran menerusi serangan terhadap kepentingan AS di negara-negara teluk.

Ketika ini, Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia, ditutup sepenuhnya oleh Tehran bermula 18 April lalu sehingga AS menarik balik sekatan laut terhadap kapal dan pelabuhan Iran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.