SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan penganjuran Piala Sultan Selangor tahun ini, yang melibatkan perlawanan bola sepak antara Selangor dan Singapura, dibatalkan susulan ketidakstabilan ekonomi akibat konflik di Asia Barat ketika ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebaliknya mencadangkan agar pentadbiran memberi tumpuan kepada penganjuran kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak yang melibatkan pelajar bawah 15 tahun dari seluruh daerah di negeri ini.
“Beta berkenan kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjur membabitkan pelajar sekolah bawah 15 tahun antara daerah sebagai usaha memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi.
“Tambahan lagi, sukan ini merupakan acara paling popular dalam kalangan rakyat negeri Selangor,” titah Baginda sempena istiadat menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ke-15 hari ini.
Minggu lalu, Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan TSSC 2026, Tan Sri Abd Karim Munisar memaklumkan Sultan Sharafuddin berkenan membatal penganjuran perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 7 November depan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi global yang mencabar, berpunca daripada pergolakan di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada negara.
Kejohanan Piala Sultan Selangor merupakan perlawanan persahabatan tahunan yang menemukan pasukan pilihan Selangor dan pilihan Singapura sejak diperkenalkan pada tahun 2001.
Penganjuran kejohanan itu bertujuan menghidupkan kembali nostalgia perseteruan bola sepak antara kedua-dua pasukan yang pernah mewarnai saingan Piala Malaysia suatu ketika dahulu.








