SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Baginda dilaksanakan secara sederhana susulan kegawatan ekonomi dunia ketika ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, keputusan itu dibuat selepas rundingan bersama Ahli Dewan di-Raja Selangor dengan mengambil kira keadaan semasa yang turut memberi kesan kepada negara dan rakyat.
Baginda bertitah, beberapa program berskala besar dibatalkan termasuk Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Alam Shah, pertunjukan bunga api serta konsert diraja dan konsert rakyat.
Sebaliknya, Baginda memutuskan untuk mengadakan jamuan teh bersama rakyat di Padang Mahkota di Istana Alam Shah, Klang melibatkan 8,000 jemputan terdiri daripada anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), pegawai kerajaan berkhidmat di negeri ini serta pesara tentera, polis dan bomba.
“Beta mengambil maklum peruntukan disediakan Kerajaan Negeri. Namun melihat kepada kegawatan ekonomi dunia sekarang sehingga tempiasnya dirasai oleh negara kita dan memahami kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh sekalian rakyat.
“Beta mahu segala perbelanjaan sambutan Jubli Perak ini dilaksana secara berhemah dan diurus dengan penuh ketelusan dan integriti. Peruntukan yang dijimatkan diguna untuk membantu rakyat yang susah dan jangan sekali-kali digunakan untuk maksud lain.
“Mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang atau menaja sambutan ini supaya menyalurkannya kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan kebajikan lain bagi membantu golongan memerlukan,” titah Baginda sempena istiadat menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ke-15 hari ini.
Baginda juga akan mengadakan majlis jamuan teh bersama ketua pegawai eksekutif atau wakil syarikat pelabur asing sebagai menghargai sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan negeri.
“Beta menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan peluang untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat Selangor sepanjang tempoh ini.
“Masa berjalan begitu pantas dan tidak semua pemerintah sempat sampai sehingga tempoh 25 tahun pemerintahan,” titah Baginda.
Bermula Januari, persiapan sambutan sempena 25 Tahun Pemerintah Sultan Sharafuddin sudah mula dijalankan, dengan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah memberi perkenan melaksanakan Jelajah Jubli Perak ke sembilan daerah.










