Status pengeksport bukan jaminan Malaysia kebal krisis tenaga

20 Apr 2026, 3:00 AM
Status pengeksport bukan jaminan Malaysia kebal krisis tenaga

SHAH ALAM, 20 APRIL: Status Malaysia sebagai pengeksport petroleum tidak menjamin negara bebas tempias krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.

Felo Akademi Kenegaraan Malaysia Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata tanggapan bahawa negara pengeluar minyak kebal daripada krisis adalah tidak tepat.

“Negara mungkin menerima hasil eksport minyak, namun pada masa yang sama masih bergantung kepada import bagi sebahagian produk petroleum bertapis dan keperluan tertentu dalam rangkaian tenaga domestik.

“Kedudukan Malaysia sebenarnya berada di tengah-tengah antara negara selamat dan berisiko dalam konteks Asia Tenggara.

"Dari sudut geopolitik, Malaysia mempunyai sedikit ruang bernafas kerana kedudukan sebagai pengeluar tenaga tetapi dari sudut ekonomi politik, rakyat tetap terkesan apabila pasaran global menjadi tidak menentu,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau berpandangan Malaysia masih belum mempunyai simpanan tenaga strategik yang cukup kukuh untuk menghadapi krisis berpanjangan.

Dalam masa sama, Awang Azman menjelaskan subsidi bahan api yang dilaksanakan kerajaan ketika ini hanya berfungsi sebagai perlindungan sementara.

“Subsidi boleh berfungsi sebagai perisai jangka pendek, tetapi sukar mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Mengulas impak kepada rakyat, beliau berkata kesan awal krisis bukan kekurangan minyak, sebaliknya tekanan harga yang meningkat secara berperingkat.

“Rakyat akan rasa tekanan harga terlebih dahulu, bukan kekurangan fizikal bekalan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan kos pengangkutan akan menjadi pencetus utama sebelum memberi kesan kepada harga makanan dan kos sara hidup keseluruhan.

Justeru, beliau berkata ketegangan di Asia Barat yang melibatkan laluan utama perdagangan minyak dunia memberi kesan langsung kepada harga global, sekali gus menekan ekonomi negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.