Invest Selangor tumpu sektor logistik depani ketidaktentuan global

20 Apr 2026, 2:03 PM
Invest Selangor tumpu sektor logistik depani ketidaktentuan global

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sektor logistik di Selangor dijangka berdepan prospek tidak menentu susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang masih berlarutan, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris berkata sektor berkenaan antara yang akan diberi tumpuan utama memandangkan peranannya sebagai nadi kepada hampir keseluruhan industri di negara ini.

“Kita menjangkakan sektor logistik antara yang terkesan berikutan kenaikan harga bahan api. Sektor ini amat penting kerana kira-kira 80 peratus aktiviti logistik negara tertumpu di Selangor.

“Selain itu, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, iaitu sekitar 60 peratus daripada ekonomi.

“Justeru, kita sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri,” katanya kepada Media Selangor.

Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan Khamis lalu, Dato’ Menteri Besar dilapor akan melaksanakan sesi libat urus bersama pemain industri pembinaan, pembuatan dan logistik.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif itu dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memastikan isu bekalan bahan binaan dapat ditangani secara proaktif.

Sementara itu, Hasan berkata Selangor masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan pelabur akan lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam membuat keputusan.

“Minat pelabur itu masih ada, namun kita menjangka mereka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Keputusan penting mungkin ditangguhkan sementara waktu bagi menilai perkembangan geopolitik antarabangsa,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.