Susun semula strategi pelaburan, tumpu syarikat tempatan

9 Apr 2026, 7:00 AM
Susun semula strategi pelaburan, tumpu syarikat tempatan

SHAH ALAM, 9 APR: Strategi pelaburan negeri akan disusun semula dengan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan bagi memastikan ekonomi kekal kukuh meski berlaku konflik di Asia Barat.

Menurut EXCO pelaburan, Kerajaan Selangor bukan mengehad pelaburan daripada syarikat asing, sebaliknya menarik syarikat tempatan berimpak tinggi dan berpotensi ke pasaran lebih tinggi.

Ng Sze Han memberitahu tumpuan terarah kepada syarikat tempatan terutama industri kecil dan sederhana (IKS) ekoran banyak IKS di negeri ini berdaya saing dan dilengkapi teknologi moden.

“Kita bantu syarikat ini memasarkan produk mereka ke pasaran lebih besar khususnya rantau Asia. Kesannya, syarikat itu akan bawa keuntungan semula ke Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

State executive councillor for investment, trade and mobility Ng Sze Han holds a press conference after launching the Local Business Connect (LBC) initiative at Dewan Raja Muda Musa in Shah Alam on February 12, 2026. — Picture by FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menjelaskan krisis ekonomi global belum menunjukkan sebarang kesan kepada pelaburan negeri tetapi pihaknya bersedia dengan langkah mitigasi bagi memastikan ekonomi kekal kukuh.

“Kita perlu sedia berubah termasuk polisi, kena ikut keadaan semasa. Sekarang berdepan krisis, jadi kena cepat ubah supaya boleh adaptasi situasi ini,” katanya lagi.

Tahun lalu, Selangor menyasar nilai pelaburan melebihi RM60 bilion, lebih tinggi berbanding sasaran RM55 bilion tahun sebelumnya ekoran kegiatan ekonomi yang dilihat memberangsangkan.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor kekal sebagai negeri peneraju ekonomi apabila mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi iaitu RM432.1 bilion bagi 2024.

Pencapaian itu menyumbang 26.2 peratus kepada keseluruhan KDNK sekali gus mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai hab utama dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan.

Negeri ini turut mencatat kadar pertumbuhan ekonomi 6.3 peratus, mengatasi purata nasional.

Sze Han sebelum ini memaklumkan. Selangor mencatat pelaburan sebanyakRM83.9 bilion pada tahun lalu sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keteguhan ekonomi dan ekosistem perniagaan negeri.

Beliau menjelaskan pihaknya bukan mengejar angka pelaburan tetapi memberi keutamaan kepada pelaburan yang membawa kesan limpahan kepada ekonomi tempatan jangka panjang.

Tegasnya keutamaan pelaburan antaranya mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem industri serta memacu inovasi dan pemindahan teknologi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.