SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa khas mengikut segmen sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan susulan krisis Asia Barat, kata EXCO Keusahawanan.
Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif itu penting memandangkan krisis berkenaan dijangka memberi kesan kepada pelbagai lapisan termasuk ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan merangka langkah susulan secara menyeluruh merangkumi pelbagai sektor termasuk keusahawanan.
“Isu krisis seperti yang kita tahu memberi kesan kepada semua. Justeru, Kerajaan Negeri sedang memikirkan beberapa langkah susulan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dalam proses menubuhkan jawatankuasa khas yang dipecahkan mengikut segmen.

“Ini termasuk segmen usahawan memang tidak akan dilupakan. Insya-Allah kita akan umumkan beberapa langkah susulan dalam masa terdekat meliputi pelbagai segmen,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 20 di Dewan Baiduri, Sunway Alam Suria, Seksyen U10, di sini malam tadi.
Mohd Najwan berkata meski terdapat kawalan perbelanjaan, peruntukan untuk usahawan termasuk latihan, pembangunan dan promosi kekal diteruskan bagi memastikan mereka terus berdaya tahan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru rakyat agar mengamalkan langkah penjimatan dalam kehidupan seharian terutama dalam ketegangan krisis Asia Barat ketika ini.
“Penjimatan tidak terhad kepada usahawan sahaja, tetapi kepada semua masyarakat supaya mula berjimat cermat. Jika tiada keperluan untuk keluar rumah atau ke tempat tertentu, sebaiknya elakkan.

“Kena fikir keperluan kerana kenaikan harga bahan bakar akan menjejaskan perbelanjaan. Kalau sebelum ini berbelanja agak mewah, kini berbelanjalah secara berhemah,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan memperketat kawalan perbelanjaan termasuk menilai semula program yang dilaksanakan.
“Kita akan mengawal perbelanjaan. Program yang tidak memberi impak kepada masyarakat dan negeri ia akan dihentikan.
“Di peringkat pegawai dan pimpinan negeri, lawatan ke luar negara juga akan dihadkan dan hanya ditumpukan kepada lawatan yang benar-benar memberi impak seperti pelaburan dan pelancongan. Jika sekadar bersifat keraian tanpa impak, kita akan kawal,” katanya.












