Bekalan makanan Selangor cukup, PKPS nasihat jangan panik beli

17 Apr 2026, 11:00 AM
Bekalan makanan Selangor cukup, PKPS nasihat jangan panik beli

SHAH ALAM, 17 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi jaminan bekalan makanan di negeri ini mencukupi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

PKPS memaklumkan pihaknya sentiasa berusaha memastikan bekalan kekal stabil melalui operasi penyimpanan makanan di Selangor.

Menurutnya, stok beras diurus secara berterusan dan simpanan semakin ditambah bagi memenuhi permintaan semasa dan masa depan.

Bekalan ayam dan daging juga mencukupi di fasiliti penyimpanan, manakala pengeluaran di ladang ternakan dipertingkat bagi memastikan bekalan tidak terputus.

Selain itu, kaedah pengeluaran minyak masak turut ditambah baik bagi memastikan pengagihan berjalan lancar dan menyokong rantaian bekalan makanan negeri.

Dalam masa sama, Selangor Fruit Valley turut mengusahakan pengeluaran hasil segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Tiada keperluan untuk pembelian panik kerana bekalan makanan kekal stabil dan mencukupi,” kata PKPS menerusi hantaran video di Facebook.

Konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah menjejaskan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

Penutupan laluan tersebut yang menjadi antara saluran utama perdagangan minyak dunia turut mencetuskan krisis tenaga global, sekali gus mendorong banyak negara termasuk ASEAN bersedia menghadapi kenaikan harga bahan api dan langkah penjimatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.