Isu longkang: Kerja pembersihan ikut SOP, MBPJ akui kekangan di beberapa lokasi

17 Apr 2026, 7:05 AM
Isu longkang: Kerja pembersihan ikut SOP, MBPJ akui kekangan di beberapa lokasi

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerja pembersihan longkang di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dilaksana mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan kebersihan serta kelancaran sistem saliran sentiasa terjamin.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, kerja pembersihan dilaksanakan dua kali seminggu di kawasan komersial dan dua kali sebulan di kawasan perumahan.

Manakala di kawasan tumpuan seperti SS2, MBPJ memberitahu ia dibersihkan menggunakan kaedah ‘jetter’oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

"Namun demikian, terdapat kekangan di beberapa lokasi apabila struktur longkang yang telah ditutup secara kekal oleh pemilik premis menghalang kerja pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh.

"Bagi memastikan liputan kerja lebih berkesan terutama di kawasan berisiko tinggi seperti SS2, KDEBWM turut melantik dua subkontraktor untuk melaksanakan kerja pembersihan secara lebih berfokus dan konsisten," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap laporan The Star bertajuk “Drains choked with grime, rodents” pada 14 April lalu.

Bagaimanapun, MBPJ menegaskan pihaknya terus komited melaksanakan pemantauan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara menyeluruh.

“MBPJ melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Kejuruteraan mempergiatkan pemantauan berkala di kawasan berkepadatan tinggi.

“Tindakan segera termasuk pembersihan tambahan dan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan aduan awam serta hasil pemeriksaan lapangan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.