Tragedi lemas: PBT digerakkan kenal pasti punca, ambil tindakan

4 Mei 2026, 5:56 AM
Tragedi lemas: PBT digerakkan kenal pasti punca, ambil tindakan

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri akan menggerakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak dan menyiasat semua longkang berisiko di seluruh negeri, susulan dua insiden tragis melibatkan kanak-kanak terjatuh sebelum ditemukan lemas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya memandang serius tragedi berkenaan dan mahu PBT mengenal pasti punca sebenar kejadian serta langkah penambahbaikan yang perlu diambil.

“Itu (longkang berisiko) PBT akan ambil tindakan sebab sebahagiannya memang di bawah kuasa PBT.

“Tapi kalau sungai dan sebagainya itu memang terlalu panjang kalau kita ingin uruskan. Jadi kita kena ada 'buffer' (penampan) dan ada kawasan-kawasan tertentu untuk elakkan daripada isu ini berlaku,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri EXCO Sumber Manusia V Papparaidu, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin turut menasihatkan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terus terjamin, khususnya ketika beriadah.

“Jadi keadaan keselamatan longkang, ya, tetapi juga semua pihak perlu melihat termasuk masyarakat, bukan ibu bapa saja supaya elakkan anak-anak daripada bermain di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.

Jumaat lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras sebelum jasadnya ditemui di Sungai Langat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.