SHAH ALAM, 22 APRIL: Dasar Rumah Selangorku 3.0 (RSKU 3.0) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2022 berupaya mengimbangi projek pembangunan komersial dan perumahan awam di Selangor.
Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah / Pembangunan Komuniti di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata kedua-dua pembangunan tersebut harus seimbang bagi mengelakkan komuniti terpinggir daripada arus kemajuan.
“Mahu atau tidak, dua-dua projek pembangunan ini perlu ada, terutamanya di Lembah Klang. Dalam RSKU3.0, pemaju swasta juga perlu bina rumah mampu milik di kawasan projek terlibat.
“Ini bagi memastikan bandar tetap inklusif, dapat mengurangkan jurang sosioekonomi, serta menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah di lokasi strategik,” katanya kepada Media Selangor.

Dasar RSKU 3.0 yang berkuat kuasa pada 3 Januari 2022 merupakan rujukan utama pembangunan perumahan mampu milik oleh pemaju swasta di Selangor.
Ia menggantikan dasar perumahan pada 2018 yang bertujuan mengimbangi keperluan perumahan dengan keupayaan pemaju.
Sementara itu, Dr Mujaheed berpendapat Selangor tidak berdepan cabaran kekurangan pembangunan rumah mampu milik, selain menyifatkan negeri memiliki banyak hartanah siap tidak terjual.
Jelasnya, ketika ini Selangor merekodkan pangsapuri khidmat siap tidak terjual ketiga tertinggi pada tahun lalu dengan 2,129 unit dan turut mencatatkan jumlah pelancaran kediaman kedua paling banyak di negara ini.

“Jadi saya tidak nampak kita ada isu serius dalam ketidakcukupan pembangunan rumah mampu milik. Selangor ada banyak kediaman yang tidak terjual, tetapi yang menjadi masalah adalah ketidakmampuan pembeli,” katanya.
Tahun lalu, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) memaklumkan, Johor kekal sebagai negeri tertinggi merekodkan pangsapuri khidmat siap tidak terjual sebanyak 9,507 unit, diikuti Kuala Lumpur (4,112 unit) dan Selangor (2,561 unit).
Selain itu, Johor juga muncul negeri mencatatkan jumlah pelancaran baharu paling banyak pada suku pertama 2025 dengan 3,194 unit, diikuti oleh Selangor dengan 2,129 unit dan Negeri Sembilan sebanyak 1,838 unit.









