Kaji jenis kediaman, bantu bakal pembeli di luar bandar

17 Apr 2026, 12:00 AM
Kaji jenis kediaman, bantu bakal pembeli di luar bandar

SHAH ALAM, 17 APR: Projek pembinaan rumah mampu milik di luar bandar berdepan cabaran berikutan pembeliannya perlahan meski harganya berpatutan, kata EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.

Beliau memberitahu kebanyakan pembeli berdepan kekangan selain faktor kedudukan dan jenis unit kediaman meski harga yang ditawar berpatutan antaranya di Kuala Selangor serta Sepang.

“Kita tawar rumah mampu milik tapi pembeli tidak ramai. Antara faktornya, kelayakan pembeli iaitu pendapatan mereka tidak konsisten hingga menyebabkan bank sukar meluluskan pinjaman.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media ketika hadir dalam Majlis Penyerahan Siap Kerja Baik Pulih Pendawaian Elektrik serta Penyerahan Bakul Makanan kepada penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang pada 11 Februari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Faktor kedua adalah kebanyakan pembeli di luar bandar lebih utamakan jenis rumah teres atau rumah atas tanah atau sekurang-kurangnya rumah townhouse,” katanya kepada Media Selangor.

Justeru, beliau memberitahu Kerajaan Negeri sedang membuat kajian bagi membantu pembeli melalui kerjasama dengan bank bagi memberi kelonggaran syarat pinjaman membeli kediaman.

Katanya, pentadbiran negeri juga me rancang untuk membina lebih banyak unit rumah jenis teres atau townhouse di lokasi strategik luar bandar bagi menggalakkan pembelian.

“Kita sedang kaji untuk bantu pembeli seperti longgar syarat pinjaman bank dan sebagainya. Di pinggir bandar, ramai berminat rumah teres berbanding apartmen,” katanya.

Selain itu, Borhan juga menegaskan pihaknya sentiasa berusaha mengimbangi projek perumahan awam dan pembangunan komersial bagi memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata pelaksanaan itu dibuat bersama setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meneliti semua faktor berkaitan sebelum meluluskan Kebenaran Merancang kepada pemaju.

“Walaupun kita bina rumah kos sederhana tetapi kita tetap jaga dari segi sosial, alam sekitar dan aktiviti yang di kawasan berkenaan. Sebab itu, kita minta PBT ambil berat dan lihat semua faktor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.