59,000 unit siap ikut pelan RS-1

18 Apr 2026, 1:02 AM
59,000 unit siap ikut pelan RS-1

SHAH ALAM, 18 APR: Pelaksanaan projek pembangunan Rumah Selangorku mengikut Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mencapai sasaran 98.77 peratus ekoran lebih 59,000 unit berjaya disiap.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata 60,000 unit Rumah Selangorku disasar siap dalam tempoh lima tahun, sekali gus hampir mencapai sasaran yang ditetapkan pentadbiran negeri.

“Sepanjang tempoh perancangan Rancangan Selangor Pertama, sebanyak 59,263 unit Rumah Selangorku ditawarkan berbanding sasaran 60,000 unit. Ertinya kita mencapai 98.77 peratus.

“Secara tidak langsung menunjukkan prestasi pelaksanaan baik dan konsisten. Usaha ini atas kerjasama semua pihak termasuk pemaju dan agensi kerajaan,” katanya kepada Media Selangor.

State executive councillor for housing and culture Borhan Aman Shah inspects the Rumah Selangorku (PPAM) Selindung Daun homes in Ulu Yam, Hulu Selangor during the key handover ceremony, on March 10, 2024. — Picture by FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengakui tidak mudah mengurus isu perumahan awam negeri, Borhan berkata, Selangor dihuni lebih 7.5 juta penduduk, menjadikannya antara negeri berkepadatan tinggi di Malaysia.

Beliau memberitahu Kerajaan Negeri mengambil pendekatan komprehensif bagi memastikan setiap golongan mampu memiliki kediaman sendiri melalui pelaksanaan RS-1 yang bermula pada 2021.

“Kita sekarang ada lebih 7.5 juta penduduk. Jadi kalau kita bandingkan, jumlah itu sama dengan apabila kita campurkan bilangan rakyat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Apabila rakyat kita ramai, keperluan penting seperti infrastruktur termasuk perumahan, sudah tentu menjadi perkara pokok dalam strategi pembangunan Selangor,” katanya.

Jumlah pembinaan rumah mampu milik bawah RS-1. Grafik AZWA MALEK

Katanya, kebanyakan projek rumah mampu milik dibina di bandar iaitu Kajang tertinggi meliputi 11,000 unit, Shah Alam kawasan kedua tertinggi (9,000 unit) dan Selayang (8,000 unit).

“Kita fokus di kawasan penduduk yang ramai kerana kita tidak mahu hartanah kawasan tersebut menjadi tidak terkawal, selain ia juga mempunyai tahap kebolehcapaian yang tinggi,” katanya.

RS-1 yang dilancar pada 2021 adalah pelan pembangunan komprehensif lima tahun (2021-2025) bagi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan makmur.

Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada usaha menyediakan kediaman yang mampu dimiliki kelompok pendapatan rendah dan sederhana selaras matlamat mencipta pembangunan berdaya huni.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.