SHAH ALAM, 16 APR: Projek perumahan mampu milik yang sedang dibina di negeri ini tidak berdepan risiko terbengkalai meski berlaku kenaikan kos harga barang pembinaan dan minyak diesel.
Bagaimanapun, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah mengakui projek tersebut dijangka mengambil masa lebih panjang untuk siap berbanding tempoh yang ditetapkan sebelum ini.

“Kalau projek terbengkalai, kita boleh nampak dari awal. Contohnya daripada latar belakang syarikat pemaju. Saya rasa untuk katakan projek terbengkalai itu, risikonya rendah.
“Cuma mungkin lambat siap sedikit berbanding tempoh ditetapkan. Setakat ini, saya dapati laporan mengatakan semua projek berjalan seperti biasa,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau juga memberi jaminan Kerajaan Negeri akan membantu pemaju perumahan mampu milik yang berdepan cabaran ekoran konflik di Asia Barat.
“Kesan krisis ini mungkin berlarutan sehingga enam bulan. Tapi setakat ini kita tidak terima apa-apa aduan daripada pemaju. Kalau ada pun nanti, mung-kin kita akan beri kelonggaran sikit.
“Sebagai contoh, kita boleh bagi tambahan masa untuk mereka siapkan projek. Mungkin mereka mahu jadualkan semula kemajuan projek mereka atau apa-apa. Kita sedia pertimbang,” katanya.
Konflik di Asia Barat sejak 28 Februari berterusan meski ada gencatan senjata selama dua minggu sejak 8 April ekoran rundingan di Islamabad, Pakistan tidak mencapai perjanjian damai.









