SHAH ALAM, 16 APRIL: Hampir RM30,000 diperuntukkan bagi kerja menaik taraf Pusat Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sungai Besi Indah menerusi Projek Selangor Penyayang tahun lalu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata, peruntukan itu melibatkan kerja memotong semak samun serta pemasangan lantai bagi meningkatkan keselesaan penduduk setempat.
Menurutnya, penambahbaikan tersebut bertujuan menyediakan kemudahan lebih baik untuk kegunaan komuniti dalam menjalankan pelbagai aktiviti.
"Kerja pemasangan lantai ini meliputi kawasan sehingga ke balai, bagi memudahkan orang ramai yang datang mengadakan program atau mesyuarat, termasuk aktiviti harian lain.
"Selain itu, ia juga memberi ruang lebih tersusun terutama dari segi kemudahan meletak kenderaan di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata sebelum ini kawasan tersebut menempatkan sebuah stor terbiar serta pokok besar yang menghalang penggunaan ruang secara optimum.
"Namun, semua halangan itu telah dibersihkan bagi membuka lebih banyak ruang untuk kegunaan komuniti termasuk aktiviti dan parkir.
"Langkah ini diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta menggalakkan lebih banyak program kemasyarakatan diadakan," ujarnya.
Menurutnya, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan RM150,000 bagi tujuan menaik taraf serta menambah baik infrastruktur di kawasan masing-masing.
"Setiap DUN diperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf atau tambah baik di kawasan kita," katanya.








