Golongan muda utamakan kereta, kad kredit berbanding rumah

20 Apr 2026, 1:00 AM
Golongan muda utamakan kereta, kad kredit berbanding rumah

SHAH ALAM, 20 APRIL: Golongan muda dilihat lebih cenderung menyewa berbanding membeli rumah akibat beban kewangan, harga hartanah tinggi, serta keutamaan gaya hidup, kata pakar perancang bandar dan pembangunan komuniti.

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata hasil kajiannya pada 2023 mendapati generasi muda masa kini mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.

“Daripada keseluruhan 2,523 responden yang berusia 25 hingga 45 tahun di Lembah Klang, 67.3 peratus mempunyai komitmen ansuran kenderaan antara RM800 dan RM1,200 sebulan.

“Ini bermakna, mereka sanggup berbelanja untuk membeli kereta mahal atau kereta jenama luar negara selain menganggap kereta sebagai kayu ukur pencapaian hidup,” katanya kepada Media Selangor.

Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Dr Mohammad Mujaheed Hassan di UPM, Serdang pada 11 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Selain itu, Dr Mohammad Mujaheed berkata, sebanyak 72.7 peratus belia mempunyai komitmen kad kredit sekurang-kurangnya daripada dua bank dan 73.9 peratus responden tidak mempunyai lebihan wang untuk tujuan simpanan.

Jumlah itu, katanya, membuktikan golongan belia cenderung mengutamakan gaya hidup berbanding pemilikan rumah, sekali gus menyebabkan golongan itu mudah terperangkap dalam masalah kewangan.

"Situasi ini agak serius kerana ia bakal menyumbang kepada masalah kewangan seperti beban hutang yang tinggi yang mungkin boleh mengakibatkan masalah lain yang lebih besar iaitu diisytihar muflis,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari meninjau rumah Projek Residensi Selangorku Oleander di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di Beranang, Hulu Langat pada 2 April 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mula memperkenalkan ilmu atau kempen mengenai pengurusan perbelanjaan seawal di bangku sekolah bagi meningkatkan kadar literasi kewangan rakyat.

Malah, katanya, golongan muda sepatutnya juga mengambil kesempatan membeli kediaman menerusi pelbagai skim dan kemudahan yang ditawarkan kerajaan dan pentadbiran negeri.

“Kita ada pelbagai skim perumahan mampu milik sekarang, malah bantuan kemudahan untuk menyediakan deposit rumah pun ada. Jadi saya rasa tiada alasan untuk mereka tidak membeli rumah,” katanya.

Pada 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, kadar pemilikan rumah dalam kalangan belia berusia antara 25 hingga 34 tahun masih rendah dengan anggaran sekitar 35 peratus.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan menyediakan peruntukan RM6.09 bilion kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan agenda perumahan rakyat kepada semua golongan masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.